Memperkukuh peranan NBD dalam sub-rantau BIMP-EAGA





Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman



MUARA, Isnin, 2 Februari. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah berkata wawasan negara, iaitu Wawasan Brunei 2035 berfungsi sebagai panduan utama kita.


"Ia menyeru kepada ekonomi yang dinamik dan mampan yang berdaya tahan serta berdaya saing di peringkat global. Penubuhan usaha sama ini antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kewangan dan Ekonomi, iaitu melalui Dana Modal Pembangunan Strategiknya bersama Network Cross Trade Line Limited, merupakan contoh utama bagaimana Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment - FDI) boleh dimanfaatkan untuk merapatkan jurang antara aspirasi tempatan dan kepakaran global," ujar Yang Berhormat pada Majlis Pelancaran NEXT Bahtera Maritime Sendirian Berhad, bertempat di Pusat Pelabuhan Muara, Muara Port Company (MPC), di sini.


Jelas Yang Berhormat lagi, perkapalan merupakan nadi perdagangan global dan ia menjadi penghubung antara pengeluar dan pengguna serta saluran yang membolehkan peluang mengalir.


Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) tambah Yang Berhormat, yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara, keterhubungan maritim bukanlah satu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik.


Melalui pengoperasian kapal khusus Pure Car and Truck Carrier (PCTC) jelas Yang Berhormat, NEXT Bahtera Maritime bukan sekadar mengangkut kargo, malah ia turut memperkukuh peranan NBD dalam sub-rantau BIMP-EAGA serta komuniti ASEAN yang lebih luas.


Laluan perkhidmatan ini kata Yang Berhormat lagi, yang menghubungkan Republik Rakyat China, Republik Korea, Republik Filipina, Republik Indonesia dan Malaysia secara langsung ke NBD, mengintegrasikan pasaran kita seperti yang belum pernah berlaku sebelum ini.


"Kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta perniagaan tempatan, saya ingin menyatakan bahawa keterhubungan yang boleh dipercayai melahirkan keyakinan.


"Dengan pemilikan aset secara langsung oleh NEXT Bahtera Maritime, kita menjangkakan peningkatan kekerapan perkhidmatan serta daya saing harga yang lebih baik dan ini membolehkan perniagaan tempatan kita melangkaui sempadan negara dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai rakan yang boleh dipercayai untuk membawa produk mereka ke pentas dunia.


"Sesebuah visi bernilai apabila dilaksanakan dengan berkesan. Oleh itu, saya berasa amat berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa NEXT Bahtera Maritime telah membuktikan keupayaannya dengan kejayaan menghantar sebanyak 833 kargo sejak 2024, serta tambahan 108 kargo lagi yang dijangka pada bulan ini sahaja," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat seterusnya mengongsikan angka-angka berkenaan bukan sekadar statistik, ia mencerminkan pergerakan perdagangan yang nyata serta pengukuhan asas ekonomi kita.


"Kepada para pemegang saham, lembaga pengarah dan pasukan pengurusan, keberanian serta keazaman awda telah membawa kita ke detik ini. Peranan penting yang telah awda mainkan dalam melancarkan aliran perdagangan global melalui kebolehpercayaan serta semangat keusahawanan yang kukuh adalah sangat dihargai.


Dalam menyaksikan kapal PCTC berlabuh di luar sana, kita juga melihat perwujudan nyata kemajuan kita serta pintu masuk kita ke dunia luar.


"Ia berdiri sebagai janji kepada keterhubungan yang lebih luas, kerjasama yang lebih mendalam dan masa depan yang lebih makmur untuk semua," ujar Yang Berhormat.



Close